ini bukan blog AirAsia
"graviti kuat buat kita rasa melekat dan tak rasa bumi ini berputar,
tapi graviti jugak tak kuat sebab burung burung masih boleh terbang tinggi.
Hebatnya ciptaan Tuhan."

Kondem

Dalam aku 'berjalan jalan merayau rayau' di perpustakaan encik Google (selepas ini dikenali sebagai encik G), aku terbaca entri berkenaan beberapa individu mempersoalkan kemahiran encik G memberikan senarai paling relevan untuk pencarian maklumat di internet. Mereka yang meng-kondem tu memiliki laman web yang nampaknya bagus dan mempunyai pengikut dalam bidang teknologi yang nampaknya ramai. Jadi bila tuan punya laman web itu memberikan tugasan kepada pelajar beliau untuk mencari maklumat berkenaan satu topik yang diberi, para pelajar beliau gagal mendapatkan rujukan terbaik daripada encik G. Maka beliau pun memberikan markah 'F' kepada para pelajar itu serta memarahi encik G. (ayat last tu aku tambah bagi dramatik bunyinya).

Tumpuan aku?

Pasal kondem lah, of kos!

Apa yang aku nampak, dalam dunia internet ni, ada 2 kategori utama pengguna. Yang mencari dan yang menyedia maklumat. Encik G sediakan platform. Internet bukan milik encik G seorang. Makhluk yang marah dalam kes di atas adalah seorang pencari maklumat(sebenarnya dia suruh pelajarnya mencari, siapa yang malas sekarang?). Beliau kondem encik G kerana tidak berbuat sesuatu kepada mereka yang menyalahgunakan khidmat sebagai penyedia maklumat yang mengambil kesempatan dengan menyediakan laman web yang tidak relevan atas niat mengambil keuntungan. Apa berbelit belit ayat aku ni?

Dalam ayat mudahnya, makhluk tu marah kepada mereka yang dipanggil 'web spammers' atau bahasa kejinya penyumbaleweng laman web. Maksudnya lagi, contoh bila seseorang mencari maklumat pasal 'cara buat kuih akok yang sedap', apa yang encik G senaraikan dalam carian termasuklah laman web yang cerita pasal 'sejarah kuih bingka pandan' (apa jadah!). Jika bernasib baik, encik G juga menyenaraikan laman web yang menjual menjual ebook 'senarai kuih kuih sedap yang akak buat' (ni lagi haram jadah!), yang mana kedua duanya tidak relevan langsung dengan carian asal.

Persoalan dan fokus kondem mereka, adakah encik G sudah kekurangan teknologi pintar untuk memberikan hasil carian yang paling relevan untuk si pencari maklumat? Di satu laman web lain yang mengutarakan isu sama, mereka mengesyaki encik G lebih memanjakan dan memuaskan nafsu serakah pencari 'klip ariel peterpan dan luna maya' kerana paparan maklumat untuk carian maklumat tersebut tidak pernah menghampakan.

Itulah isu isu panas yang kini sedang cuba ditangkis oleh encik G. Encik G sememangnya dalam dilema kerana dalam masa cuba memberikan perkhidmatan terbaik kepada pencari maklumat untuk kekal sebagai enjin carian nombor satu dunia, encik G juga perlu menjaga slip gaji pekerjanya dengan memastikan para pengiklan gergasi tidak berasa kecil hati.

Ini kerana para pengiklan di internet lebih menyukai penyedia maklumat yang mahu bersekongkol dengan mereka kerana para penyedia maklumat ini lebih bergerak aktif dalam menarik trafik ke laman mereka tanpa menggunakan ilmu hitam atau membuat perjanjian dengan syaitan seperti filem 'Khurafat'. Mana mana laman yang mengetuai menarik jumlah pengunjung yang ramai sememangnya berpotensi untuk menaikkan tahap jualan barangan yang dijual oleh pengiklan, waima laman web itu sebenarnya tidak menceritakan langsung tentang barangan yang dijual oleh pengiklan itu.

Sebagai contoh, andaikan di sebelah kanan blog terbang ini terdapat satu iklan rentang untuk produk kecantikan diri yang menjanjikan perubahan rupa daripada wajah seiras fasha sandha kepada wajah seiras nora danish dalam masa 2 minggu. Dan andaikan juga terdapat 2 juta (yer, 2 juta) jumlah pengunjung harian ke blog terbang ini, maka dengan menggunakan matematik asas, dengan hanya 3 peratus daripada 2 juta pengunjung (yang kebanyakannya awek awek) yang meng-order produk kecantikan hebat itu, maka objektif pengiklan itu menempel iklan di blog terbang sudah mencapai target jualan untuk 3 bulan. Perlu diingat, blog terbang ini hanya menempatkan ruang berukuran selebar ayam goreng drummet untuk iklan itu dan blog terbang tidak pula pernah walau dengan sepatah ayat pun mempromosikan produk kecantikan terhebat itu!

Dengan kata lain, berdasarkan dakwaan makhluk yang mengadu domba kepada encik G di atas tu, blog terbang adalah laman yang tidak berkualiti kerana awek awek yang mencari produk kecantikan hebat akan terpukau untuk menyinggah di blog terbang kerana blog terbang ini disenaraikan di kedudukan nombor satu untuk carian 'produk kecantikan wanita terkini'. Maka makhluk itu mahukan supaya encik G menyekat kemaraan blog terbang daripada menjadi penguasa untuk tajuk tajuk carian yang lain seperti:

'Kenapa AirAsia itu bukan monopoli walaupun cuma dia jer yang jadi syarikat penerbangan tambang murah di Malaysia ketika ini?'

atau

'blog yang lebih popular daripada web suria fm'

atau

'cara terbaik menguruskan badan tanpa menonton filem 2 alam'.

Alasannya kerana blog terbang tidak ada kena mengena dengan Airasia, blog terbang bukanlah lebih popular daripada web suria fm dan blog terbang bukan berkenaan cara menguruskan badan yang ada kaitan dengan filem 2 alam!.

Mungkin makhluk itu mahukan bila ada pencari maklumat membuat carian 'teknologi terkini telefon bimbit 2011', encik G memaparkan foto makhluk pemilik web teknologi itu memenuhi skrin sebagai satu satunya hasil carian yang ada.

Takde 'spirit of competition' langsung!

Cukup.

0 comments:

Post a Comment