Hari yang indah selalunya dimulakan dengan sarapan yang baik tapi dapatkah sarapan yang baik menjadikan hari itu indah? Amboi, berbahasa indah pulak yer. Bercakap pasal sarapan atau makan pagi di sesetengah tempat; sebenarnya, sesiapa pun boleh makan lempeng! Dan pastinya sesiapa pun boleh memasak lempeng kerana Chef Gusto, dalam cerita ratatouille, pernah mengatakan 'sesiapa pun boleh memasak'. Nampak jugak tipunya cerita tu bila tiba tiba tikus lagi hebat memasak daripada manusia walaupun tikus tu tak pandai masak lempeng.
Lempeng cukup mudah untuk disediakan. Tak perlu kabinet dapur dan aksesori dapur yang hebat dan gah serta berjenama macam yang chef Jamie Oliver mahupun Chef Wan pakai. Oleh sebab mudahnya cara menyediakan lempeng yang solid, maka Chef Wan pun tak pernah ingin nak menunjukkan resipi lempeng walaupun dia dah bersiaran di tv semenjak rambut hitam sampai dah bertukar jadi putih. Resipi dan cara masak lempeng ni sebenarnya jauh lebih mudah berbanding cara nak ambik lesen tv di pejabat pos tahun 80an dulu.
Lempeng adalah kombinasi adunan tepung, air masak dan garam. Ya, itu saja!. Tak perlu brokoli. Tak perlu serbuk penaik. Tak perlu cokelet cip. Tak perlu kuali leper pun untuk memasaknya! Memang bullshit kalau ada sapa sapa kata tak reti nak masak lempeng sebab takde kuali leper. Gambaran mudahnya memasak lempeng ni, guna periuk nasi pun boleh masak lempeng!
Namun, sejak Sheila Rusly dah menambahkan mayonis dalam telur dadar untuk mendapatkan telur dadar yang gebu, maka mungkin akan ada makhluk tukang masak yang bertanya, 'Tambah mayonis dalam adunan lempeng boleh tak?'
Memang tak ada masalah cuma rasa originalnya akan lari. Dah tak ngam. Macam tampal lambang Mitsubishi pada proton Inspira. Jadi, setialah kepada resipi lempeng yang asli.
Terus cerita pasal nisbah tepung, air dan garam dalam adunan lempeng. Tak perlu nak jadi skema sangat. Nisbah nisbah ni cerita pembakaran dalam enjin kereta. Buat lempeng ni lebih kepada jati diri individu. Kalau korang konfiden dengan tiga cawan tepung gandum, silakan. Lepas tu belenkan la dengan air masak sampai tepung tu jadi cair. Nak uji kecairan ni bukannya perlu macam nak chi susu getah. Nak uji kecairan adunan lempeng ni lebih kepada 'trial and error'. Bak kata tips yang mak aku bagi kat aku dulu, "Kacau kacau kacau dengan sudu, angkat sudu tu. Kalau elok melelehnya tepung tu, kira jadi la tu."
Lempeng ni lambang ekspresi diri. Takde sempadan peraturan yang menghalang. Ikut suka. Cuma garam tu jangan lebih lebih sangat. Darah tinggi tu satu hal. Kalau dah jadi macam sup ayam yang si Sudin tumpahkan garam dalam cerita Bujang Lapok tu, sapa nak makan lempeng tu? Bagi ke rakun di zoo pun belum tentu dimakannya.
Eh lupa, tepung di sini merujuk kepada tepung gandum. Tepung ubi dan tepung sagu pun mungkin boleh cuba. Cuma kalau boleh, jangan sesekali guna tepung pelita. (maaf, tak kelakar)
Setakat yang aku perhati di kawasan urban yang aku tinggal ni, takde usahawan berani nak buka bisnes kedai makan untuk jual lempeng sahaja. Kedai jual nasi lemak sahaja dah banyak. Kedai jual kek sahaja pun banyak. Jangankan kedai, warung, stall, kat pasar malam pun takde yang berani jual lempeng ni. Takkan sebab terlampau mudah takde sapa ada idea nak komersilkan lempeng ni? Goreng ayam pun mudah je tapi masih berlambak lambak restoren jual ayam goreng kat dunia ni. Ramai orang pulak yang makan kat kedai ayam goreng tu! Kan?
Kenapa aku tak bukak kedai lempeng? Beb, aku ni kerja buat review je. Setidak tidaknya, aku buat keje aku dengan review pasal lempeng ni. Ada paham?
Lagi pasal lempeng. Ia boleh masuk pelbagai konsep. Kalau iklan kata Roti Gardenia tu enak dimakan begitu saja. Lempeng pun enak dimakan begitu saja. Lawan lempeng yang paling simple ialah gula pasir. Tak payah banyak banyak, sikit pun cukup. Janji terasa kemistri antara gula, tepung, garam dan minyak tu. Alah, minyak tu sikit je pun. Jangan la paranoid sangat.
Selain lempeng cicah gula, lempeng juga boleh dipadankan dengan kari. Tak kisah la kari ayam ke, kari lembu ke, kari kambing ke, kari semalam ke, kari mamak ke. Asal kari. Kalau ada stok rendang pun cara jugak. Jadi bila lempeng tu ditenyeh ke kari atau rendang dan dikunyah perlahan lahan, pasti terasa cetusan rasa yang boleh membawa ramai orang ke zaman kanak kanak (macam scene cerita ratatouille lagi). Maka sedar tak sedar, mungkin kita dah makan empat keping lempeng. Pasti kenyang membawa ke lewat tengahari yang mana kita tak perlu melalui saat mengantuk di pejabat kerana kekenyangan ketika makan tengahari. Jimat pun jimat.
Jadi, seeloknya, sebelum kedai kedai mamak menambahkan lempeng dalam menu mereka dan mengenakan harga RM1.80 untuk sekeping lempeng bersaiz kecil yang pastinya mengundang sumpah seranah kita di kemudian hari, maka eloklah resipi lempeng terbaik ini diabadikan dalam memori kita supaya kita tak perlu terliur dengan lempeng mamak itu nanti kerana kita juga tahu membuat lempeng yang enak dan lazat.
Semoga lempeng terus kekal dalam perbendaharaan budaya makanan kita. Amin.
0 comments:
Post a Comment