ini bukan blog AirAsia
"graviti kuat buat kita rasa melekat dan tak rasa bumi ini berputar,
tapi graviti jugak tak kuat sebab burung burung masih boleh terbang tinggi.
Hebatnya ciptaan Tuhan."

Misteri Jalan Lama

Sebenarnya, kalau ikut sejarahnya, sebelum ada lebuhraya, jalan jalan lama ni asalnya jalan utama. Bila lebuhraya dah ada penggantinya nanti, lebuhraya tu pun akan jadi jalan lama.

Tapi itu cerita lain.

Jalan lama yang aku nak cerita ni tak kurang misterinya. Bezanya dengan cerita misteri jalan lama yang akan ditayangkan di pawagam berhampiran korang nanti (promo), jalan lama yang aku nak cerita ni aku lalu hari hari, siang, malam, awal pagi dan juga lewat malam, tapi jalan lama dalam cerita misteri jalan lama tu, aku pun tak tau di mana.

Mula:
Untuk ke pejabat, dari rumah aku kena lalu satu pekan koboi dalam zon bersih kaler hijau sebelum masuk laluan jalan lama tu. Lepas 3 lampu isyarat, cabaran jalan lama pun bermula.

Lalu hutan sikit, lalu kampung sikit, lalu kebun getah sikit, kona kiri, kona kanan. Siang siang memang layan bila naik motor. Bila malam naik motor rasa macam naik basikal.

Jalan lama yang aku lalu ni, walaupun tak skeri sangat tapi ada jugak beberapa kawasan yang sepupu aku si mamat kata 'keras'. Nak taknak aku kena lalu jugak sebab jalan lain pun keras juga.
Dan itu juga cerita lain.

Bila lalu jalan lama ni, memang banyak dugaannya.
Orang tua tua kata, kalau nak tau tempat itu ada celen atau tak, bila lalu kawasan tu, segala bulu akan berdiri macam kita berdiri masa nyanyi lagu negaraku masa perhimpunan sekolah.

Bezanya, kena berdiri masa perhimpunan pagi tu sebab memang takde kerusi dan kalau tak berdiri, cikgu disiplin akan hukum berdiri (sampai waktu rehat) jugak, tapi berdirinya bulu badan terutamanya di tengkuk pula bukan sebab ada cikgu disiplin.

Begini ceritanya:
Awal pagi tadi, kurang lebih jam 1.15 pagi waktu tempatan, aku pun memulakan perjalanan balik dari pejabat.
Oh, sebelum terlupa, petang semalamnya, aku dah tengok cerita al-hijab di pejabat.
Punya la marah aku tengok cerita tu sampai aku rasa nak turunkan dan slemdang tv kompeni tu.

Aku marah sebab...
Takpe, lain kali aku cerita.

Berbalik kepada permulaan perjalanan balik aku pukul 1 suku pagi tu, aku cuba hidupkan enjin motor tapi selepas beberapa cubaan, masih tak boleh.

'Ah, cilake, minyak ada, apa pulak masalahnya ni, taknak balik ke motor ni?'

Masuk kali keempat aku tendang, baru aku perasan, kunci tak pusing habis. Memang sampai esoknya la motor tu takkan mahu hidup.

Dengan Bismillah, bila enjin dah cukup panas, aku pun konfiden mulakan perjalanan. Masa ni memang la konfiden.

Lepas 3km ikut jalan besar, aku kena masuk susur kiri untuk masuk ke jalan lama.

Punya la gelap jalan tu. Kesian orang kampung tu.
Dan kesian jugak kat mat motor macam aku ni.

Waktu macam ni memang boleh kira dengan jari tangan kanan berapa bijik kenderaan yang lalu jalan tu.

Kemudian aku kena lalu satu kawasan yang cuma ada belukar kiri kanan jalan.
Eleh, belukar je kan? (ini bukan aku kata).

Masa tengah menurun bukit, pap! tiba tiba lampu motor aku padam.

'Ah! Bila pulak lampu ni pakai timer? Kenapa nak padam masa lalu kat sini?'

Dengan kelajuan sederhana, mata pandang ke jalan yang gelap sambil jaga belen badan supaya tak tergolek, aku godek godek suis lampu motor.
Jalan tetap jalan, berhenti mungkin lain kali.

Godek punya godek, lampu tu menyala.
Lega.

Bila tersuluh je jalan, hidung aku pulak sudah bagi satu warning.
Bau harum sejenis 'bunga' menusuk hidung. Serius punya kuat bau tu, macam kat belakang aku jer pokok tu. Isk!

'Ah! (lagi), bila lalu siang siang, aku tak pernah pun nampak pokok bunga tu di kawasan belukar ni, bila diorang tanam?'

Masa ni bulu roma aku memang ada 'up' sikit, tapi dengan stail selo selo dan stedi terpaksa, aku teruskan perjalanan.

Jauh lagi ni...